ARKIB : 24/12/2012 - Utusan Online


Haiwan di Klinik Mesra diperiksa bagi mengenal pasti tahap kesihatannya.

DI Shah Alam, dua pemilik sebuah pusat jagaan haiwan dipenjara tiga bulan atas kesalahan menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap 30 ekor kucing ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Di Petaling Jaya pula, seorang penjaja wanita yang pernah membangkitkan kemarahan penduduk di negara ini apabila aksinya mendera tiga ekor kucing disiarkan di laman YouTube, telah didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret.

Penjaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) dan (d) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM200 atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

Kedua-dua kes tersebut antara contoh bagaimana individu yang terlibat dengan penganiayaan terhadap binatang dikenakan hukuman.

Maka, kerajaan telah merangka dan dijangka membentangkan Rang Undang-undang Kebajikan Haiwan di Dewan Rakyat pada tahun depan bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas pesalah yang mendera binatang.

Antara cadangan dalam rang undang-undang tersebut ialah supaya pesalah kes penderaan haiwan didenda antara RM20,000 dan RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.

Mengulas perkara tersebut, seorang pengusaha pusat jagaan haiwan, Dr. Ahmad Kusairy Wan Sulaiman, 47, bersetuju supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada mereka yang menganiaya haiwan.

''Jangan anggap haiwan sebagai sampah, mereka perlu perhatian dan kasih sayang,'' ujar beliau ketika ditemu di kliniknya di Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan kemajuan negara yang dicapai pada masa ini, masyarakat semakin menyedari kepentingan penjagaan atau kebajikan haiwan.

Kesedaran masyarakat Malaysia kini semakin ketara dengan kebanyakan rumah memiliki haiwan peliharaan

''Haiwan juga merupakan makhluk Allah dan sepatutnya disayangi,'' katanya.

Dengan meningkatnya kesedaran orang ramai itu, mereka mula memelihara haiwan kesayangan di rumah dan jumlahnya semakin bertambah.

Peningkatan pemilikan haiwan kesayangan ini mendorong ramai membuka pusat penjagaan haiwan bagi memudahkan pemiliknya menyimpan haiwan tersebut dengan kadar bayaran tertentu apabila terpaksa meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama.

Namun bagi Dr.Wan Ahmad Kusairy, tidak semua orang layak atau berkemampuan membuka pusat seumpama itu.

Minat dan pengetahuan menjadi faktor penting sama ada mereka boleh berjaya atau sebaliknya.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam industri tersebut, beliau berkata, minat menjadi pendorong kuat kepadanya sehingga berjaya membuka pusat seumpama ibarat pusar Rehat dan Rawat (R&R) untuk haiwan.

Beliau mempunyai kelayakan dalam perubatan veterinar selepas menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (ketika itu Universiti Pertanian Malaysia) pada 1990.

Anak jati Temerloh Pahang pada mulanya ditawarkan pengajian doktor perubatan tetapi memilih bidang veterinar memandangkan tidak ramai menceburi bidang tersebut.

Selepas menamatkan pengajian, beliau menyertai Jabatan Perkhidmatan Haiwan (sekarang Jabatan Perkhidmatan Veterinar) sebelum memulakan perniagaan pada 2006.

''Saya dapati tidak ramai orang Melayu membuka pusat seumpama ini ketika itu sedangkan permintaannya agak tinggi. Menjadi satu cabaran bagi saya untuk menawarkan perkhidmatan tersebut.

''Tambahan pula saya mempunyai kelayakan dalam perubatan veterinar yang sepatutnya saya praktikkan dan pada masa sama, dapat memberi peluang kepada rakan-rakan saya meneruskan kepakaran mereka,'' ujarnya lagi.

Beliau memulakannya perniagaannya dengan membuka kedai kecil di Bandar Baru Bangi sebelum berpindah ke kawasan yang lebih luas di premis yang ada sekarang dengan nama Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra di Seksyen 7 di kawasan yang sama.

Dalam tempoh enam tahun, Dr. Wan Ahmad Kusairy membuka empat cawangan baru di beberapa kawasan lain termasuk Putrajaya, Shah Alam, Kajang dan Taman Sri Serdang.

Klinik dan pusat penjagaan haiwan berkenaan dikendalikan oleh enam orang doktor veterinar dan 20 kakitangan.

Klinik tersebut sebenarnya mirip hotel yang menawarkan khidmat Rehat dan Rawat (R&R) seperti penginapan, penjagaan kebersihan, makanan dan pemeriksaan kesihatan yang kebanyakannya dikhususkan untuk kucing.

Meskipun terdapat pemilik haiwan menghantar peliharaan mereka seperti hamster, kura-kura dan arnab, pusat tersebut lebih tertumpu kepada kucing.

Dengan kemudahan mirip hotel, pusat tersebut menawarkan beberapa jenis atau standard 'bilik' untuk seekor kucing, terbahagi kepada Standard, Deluxe dan Exclusive pada harga mengikut kemudahan.

Bilik keluarga juga ditawarkan dengan harga tertentu.

Perkhidmatan sampingan yang ditawarkan termasuklah memandi kucing, berubat dan bius dengan anggaran bagi yang berbulu pendek antara RM45 hingga RM90 (bergantung kepada perkhidmatan).

Bagi kucing yang berbulu panjang, perkhidmatan yang sama ditawarkan pada harga antara RM55 hingga RM105.

Mencukur bulu kucing juga ditawarkan dengan harga RM100 dan RM120 masing-masing bagi yang berbulu pendek dan panjang.

Beberapa perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuk pemandulan kucing betina yang mesti berumur sekurang - kurangnya enam bulan , keadaan kesihatan baik dan beberapa kemudahan lain dengan harga RM120 seekor bagi tiga hariu dua malam penginapan.

Pemandulan kucing jantan juga ditawarkan pada pakej harga RM70 termasuk penginapan dua hari satu malam.

Maklumat lanjut hubungi klinik berkenaan di talian 03-89250121.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20121224/lk_01/RR-haiwan-peliharaan#ixzz3S0yKYeeh
© Utusan Melayu (M) Bhd